Friday, July 24, 2009

KEPADA PUTERIKU (Bahagian 3)

Wahai puteriku ...

Lelaki yang baik dan soleh, akan datang kepadamu, dengan segala kerendahan hati, memohon kemaafan, menawarkan kepadamu hubungan yang halal dan terhormat. Dia datang untuk meminang dan mengahwinimu.
Seorang gadis betapa pun tinggi kedudukannya, betapa pun banyak hartanya, betapa pun hebat kebenaran dan pengaruhnya, dia pasti mempunyai cita-cita: "Mencapai kebahagiaan yang tinggi iaitu bersuami, menjadi isteri yang solehah, terhormat dan ibu rumahtangga yang baik".

Cita-cita seperti itu pasti diharapkan oleh semua wanita tak kira sama ada dia seorang ratu, keluarga raja, bintang filem Hollywood ataupun wanita biasa.
Aku mengenali dua orang sasterawati dari Mesir dan Syria. Kedua-duanya bergelar tokoh. Ilmunya dikagumi, kekayaanya melimpah ruah, tinggi kedudukan dan kehormatannya. Kedua-duanya telah kehilangan suami, namun tiba-tiba hilang keseimbangan akalnya... dan menjadi gila. Tak perlu aku sebutkan namanya, pasti semua orang Mesir dan Syria sudah mengenalinya.
Perkahwinan adalah cita-cita yang paling tinggi bagi wanita. Jawatan wanita yang tinggi sama ada sebagai anggota parlimen, menteri atau bahkan sebagai presiden, tahapnya tetap berada di bawah perkahwinan. Lelaki, pada dasarnya akan mencari wanita terhormat dan bukan wanita jalang atau rosak akhlaknya.

Seandainya seorang lelaki bertunang dengan wanita yang baik tetapi wanita itu tiba-tiba berubah akhlaknya, menyeleweng dan masuk ke dalam perangkap nista, pasti dengan segera lelaki itu pergi meninggalkannya. Dia akan tegap melangkah keluar.

Lelaki yang baik, pasti tidak rela melihat anaknya keluar dari rahim ibu yang keji dan apatah lagi untuk membesarkan dan memelihara anaknya. Seorang pemuda jalang yang rosak dan menjijikkan, apabila tidak mendapati mangsa gadis yang mahu mengorbankan kehormatan dirinya di bawah tapak kakinya dan menjadi alat permainannya dan apabila dia juga tidak memperolehi wanita pelacur atau gadis lalai yang rela dikahwini dengan agama syaitan dan iblis serta mengikut syariat binatang, pasti dia akan mencari jodoh dengan seorang isteri yang perlu dinikahi dengan landasan sunnah dan syariat Islam.


Wahai Puteriku…

Suasana sepi dan lesunya pasar pernikahan dan perkahwinan, penyebabnya adalah kerana kesalahanmu sendiri. Jatuhnya pasaran dan nilai perkahwinan dan semakin pesat bursa pelacuran juga adalah kerana perbuatanmu!

Lantas, kenapa kamu yang berakhlak mulia tidak mencegahnya?
Kenapa para wanita yang mulia dan terhormat tidak memerangi musibah dan wabak itu?

Kamu, para wanita tentu lebih berkebolehan dan berkemampuan bertindak daripada kaum lelaki. Kamu sebagai wanita terhormat, mulia, memiliki harga diri dan memegang teguh agama, pada akhirnya akan menjadi mangsa dan korbannya. Hampir di setiap rumah di negeri Syam terdapat gadis-gadis pada usia yang layak berkahwin belum mempunyai calon dan gadis yang sudah lewat usianya belum juga bersuami. Para pemudanya berasa puas dengan hanya berpacar-pacaran dan bergaul bebas daripada beristeri. Mungkin keadaan seperti ini juga terdapat di negara-negara Islam yang lain.


Wahai puteriku ...

Dirikanlah wadah dalam bentuk lembaga dan persatuan dari kalangan kamu sendiri yang anggotanya terdiri daripada para cendiakawan, guru dan mahasiswi. Wadah yang berusaha untuk mengembalikan wanita-wanita sesat kepada jalan kebenaran.

Ancam dan takutkan mereka dengan firman-firman Allah. Sekiranya mereka tidak mahu mendengar dan tidak rasa takut lagi, maka berilah gambaran bahaya penyakit yang akan dideritainya. Kalau mereka tidak juga peduli, berikan penjelasan dan contoh-contoh kenyataan yang ada, katakan kepada mereka:
"Anda remaja cantik, ramai pemuda yang tertarik dan mengharapkan anda. Kecantikan anda seperti sekarang ini apakah akan terus bertahan? Bagaimana nasib anda nanti setelah tua? Ketika muka anda sudah kerepot dan badan membongkok? Siapakah nanti yang akan menguruskan anda? Siapakah ketika itu akan memperhatikan nasib anda? Tahukah anda, siapa yang akan menghormati dan memuliakan orang tua yang tidak berdaya lagi? Hanya anak dan cucu-cucunya! Di tengah-tengah mereka, orang tua sepertinya menjadi ratu di antara rakyat, bermahkota, duduk di singgahsana.
Bagaimana nasib anda nanti jika terus begini? Bagaimana derita anda di kemudian hari?” Anda lebih tahu dari kami. (2)

Cuba anda renungkan "Apakah boleh disamakan lazatnya berhubungan yang sebentar sahaja nikmatnya itu dengan penderitaan-penderitaan anda? Apakah patut, harga kegadisan anda dibayar begitu murah dan penderitaan anda setelah itu ditebus dengan harga sebegitu mahal? Saya rasa, anda cukup mampu mengarahkan dan memberi petunjuk pada kawan-kawan yang tersesat dan perlu dikasihani. Saya tidak perlu berlama-lama memberi bimbingan kata kepada anda. Saya yakin anda sendiri tentu telah mempunyai banyak bahan untuk melakukan penyelamatan.

Sekiranya segala usaha penyelamatan yang dilakukan kepada mereka tidak membawa hasil. Ya cukuplah... anda perlu menukar sasaran. Lakukan penyelamatan kepada mereka yang belum terkena. Cegah mereka dari serangan penyakit menular itu. Pada umumnya, penyakit seperti itu mudah menyerang wanita-wanita lalai dan gadis yang menginjak dewasa. Bimbinglah mereka agar tidak tersesat jalan.

Apa yang anda lakukan adalah secara bertahap. Saya tidak mengharapkan anda mengajak para wanita Islam melakukan perubahan yang drastik, sekali nasihat terus berubah menjadi muslimah sejati. Segalanya hendaklah dengan wajar, perlahan dan mencapai sasaran. Biasanya, adalah mustahil dengan memberi sekali kefahaman kemudian dapat mengubah haluan (3). Kembalikanlah dia kepada kebaikan selangkah demi selangkah, sebagaimana dia sebelumnya sedikit demi sedikit menuju kepada kejahatan.

2 Ketika aku sedang berjalan di kota Brussel (Belgium), berhampiran dengan tempat lintasan pejalan kaki, aku melihat seorang nenek tua dengan susahnya menyeberangi jalan itu. Dengan tubuh yang mulai membongkok dan badan yang gementar, dia berusaha sendiri menyeberangi jalanraya yang banyak kenderaan. Dia menyeberang tanpa seorang pun berasa perlu membantunya. Orang-orang disekitarnya tidak mengendahkannya, seolah-olah apa-apa pun yang terjadi terhadap nenek tua itu ditanggung sendiri risikonya. Aku berjalan dalam bangunan. Aku berkata kepada kawan-kawan aku: "Mari kita bantu dia". Salah seorang anggota rombonganku adalah

Dr. Nadim Dhibyan, dia telah menetap di Brussel lebih dari empat puluh tahun. Dr. Nadim berkata: "Tahukah anda siapa wanita tua itu? Dia ketika muda, adalah wanita tercantik di negeri ini, amat terkenal dan setiap penampilannya mengundang perhatian orang. Ramai lelaki yang tergila-gila kepadanya. Cukup terkenal dan cantik, sehingga ada lelaki tidak berasa sayang untuk mengeluarkan wang yang banyak walaupun sekadar melihat muka dan gayanya dalam pertunjukan atau untuk menjamah tubuhnya. Tetapi sekarang, sesudah usia mudanya berlalu dan kecantikannya menjadi layu, lelaki terasa geli tubuhnya untuk mengangkat, menolong dan menyeberangkannya di jalan sesak itu.

3 Malam gelap gelita dan siang terang benderang. Allah tidak merubah gelap menjadi terang dalam masa yang singkat, tetapi dengan perlahan-Iahan siang masuk ke malam tanpa manusia merasakan perubahannya.




Monday, July 20, 2009

KEPADA PUTERIKU (Bahagian 2)

Wahai puteriku,

Demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu telanjang dihadapannya tanpa pakaian.
Aku bersumpah lagi: "Demi Allah, jangan percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab". Bohong …….. bohong ....... Bohong…… demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan di antara mereka, pasti engkau akan takut dan ngeri.
Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu, berbicara dengan lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal.
Apakah sesudah itu wahai puteriku?

Renungkanlah!

Kamu berdua, bersama-sama berasmara, menikmati kelazatan yang hanya sebentar kau rasakan sesudah itu, dia lupa dan pergi meninggalkan engkau. Dan engkau… akan merasakan pahitnya daripada pertemuan yang sebentar itu untuk selama-lamanya. Dia pergi dengan diam-diam meninggalkanmu, mencari mangsa baru untuk dirayu dan diterkam lagi kegadisannya. Sambil dia mencari dan menikmati mangsa baru, engkau perlahan-lahan merasakan sesuatu yang berat menganjal di perutmu. Engkau sedih dan muram.
Engkau bingung dan gelisah. Lelaki yang membesarkan perutmu itu tidak dituntut atau dihukum oleh masyarakat yang zalim, bahkan… diberi keampunan dan dibiarkan bebas dengan alasan: "Dia yang dahulu sesat, tetapi sekarang sudah bertaubat". Tapi engkau? Engkau akan terus kecewa dan terus dihina sepanjang usiamu. Masyarakat tidak akan mengampuni dosamu.

Seandainya ketika dia mula merayumu, engkau tolak dengan sikap yang tegas… Engkau alihkan pandanganmu dari pandangannya seandainya sikapmu itu tidak menghentikan usahanya dan malah bersikap lebih biadap dengan mengucapkan kata-kata yang jelik dan menggunakan tangannya, cepat-cepat engkau tanggalkan kasut dari kakimu dan pukullah kepalanya Kalau engkau lakukan itu, pasti semua orang yang ada di sekitar tempat itu akan serentak menolongmu. Sesudah itu….Dia akan ngeri mengganggu wanita terhormat di jalan.

Tuesday, July 14, 2009

KEPADA PUTERIKU (Bahagian 1)


Wahai puteriku...
Aku seorang bapa yang sedang berjalan memasuki usia lima puluh tahun1. ___________________________________________________________________________________________
1 Ketika pertama kali menulis makalah ini, beliau berusia lima puluh tahun. Sekarang beliau sedang menghampiri usia lapan puluh tahun.
___________________________________________________________________________________________

Usia muda telah aku lewati, aku tinggalkan kenangan, impian, lamunan-lamunan dengan segala ujian-ujian dunia. Dengarlah ucapan dan kata-kataku. Ucapan-ucapan haq yang aku sampaikan secara jelas dan mudah.


Wahai puteriku...


Banyak aku menulis, sering aku menyeru dan mengajak umat untuk menegakkan akhlak, menjunjung budi pekerti mulia, membanteras segala bentuk kerosakan jiwa dan mengendalikan nafsu syahwat untuk melawan dan membanteras keruntuhan moral. Semua itu berterusan aku sampaikan, aku tulis dan khutbahkan sehingga pena yang aku gunakan menjadi
tumpul dan lidahku menjadi kelu. Namun, tetap tiada hasil yang aku perolehi. Kemungkaran tetap berleluasa tanpa kita mampu untuk membanterasnya.
Di setiap pelusuk negara perbuatan mungkar terus kita temui, semakin banyak dalam pelbagai bentuk. Wanita semakin berani dan tidak malu-malu untuk membuka auratnya. Tubuhnya ditonjol-tonjolkan, pergaulan bebas muda-mudi bertambah menjolok. Semua itu bergerak melanda negara demi negara, tanpa satu pun negara Islam yang mampu mengelak.
Sebagai contoh Negara Syria yang terkenal dengan keserasian akhlak yang sangat ketat menjaga kehormatan diri dengan menutup auratnya, sekarang Masya-Allah!!! Para wanitanya berpakaian terbuka mempertontonkan lengan dan paha, punggung dan dada. Kita gagal, dan aku kira kita tidak akan berjaya. Tahukah engkau apa penyebabnya? Sebabnya ialah sehingga hari ini kita belum menemui pintu ke arah pemulihan dan kita tidak tahu jalannya.



Wahai puteriku...

Pintu pemulihan ada dihadapanmu. Kunci pintu itu ada ditanganmu. Jika engkau menyakininya dan engkau berusaha untuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah dan menjadi baik. Engkau benar puteriku, bahawa kaum lelakilah yang mula-mula melangkah menempuh jalan dosa, bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah maju. Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk. Engkau berkata kepada pencuri: "Silakan masuk"... dan setelah engkau kecurian barulah tersedar. Ketika itu barulah engkau berteriak "Tolong...tolong... aku kecurian". Seandainya engkau tahu bahawa lelaki itu serigala dan engkau adalah kambing, pasti engkau akan lari seperti larinya kambing dalam ancaman cengkaman serigala. Sekiranya engkau sedar, bahawa semua lelaki itu adalah pencuri, pasti engkau akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspadanya seorang yang kikir terhadap pencuri.
Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diinginkan lelaki adalah lebih daripada itu. Lelaki menginginkan lebih dari sekadar daging kambing dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu.


Lelaki menghendaki yang paling berharga darimu... iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.