Wednesday, August 26, 2009

ALLAHLAH YANG BERKUASA MEMBERI PENGGANTI

Allah tidak pernah mengambil sesuatu dari kita kecuali Dia menggantikannya dengan yang lebih baik. Tetapi itu pun apabila kita bersabar dan tetap redha dengan segala ketetapan-Nya.

"Sesiapa Kuambil dua kekasihnya (matanya) tetap bersabar maka Aku akan mengganti kedua-dua(mata)nya itu dengan syurga." (Hadis Nabi) dan:

"Sesiapa yang Kuambil orang yang dicintainya di dunia tetap mengharap redha(Ku), nescaya Aku akan menggantinya dengan syurga." (Hadis Nabi)

Dengan kata lain, sesiapa kehilangan anaknya namun ia tetap berusaha untuk bersabar maka di akhirat nanti akan dibangunkan untuknya satu Baitul Hamad (Istana Pujaan).

Maka kita tidak perlu bersedih hati dengan musibah yang menimpa kita, sebab yang menentukan semua itu adalah Allah yang mempunyai syurga, balasan, pengganti dan ganjaran yang besar.


Para wali Allah yang pernah ditimpa musibah, ujian dan cubaan akan mendapat penghormatanyang mulia di syurga Firdaus. Janji Allah itu termaktub dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu.
Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu." (Surah Ar-Ra'd: 24)

Bagaimanapun, kita perlu selalu melihat dan yakin bahawa di sebalik musibah terdapat ganti dan balasan dari Allah yang biasanya berkesudahan dengan kebaikan kita. Dengan begitu, kita termasuk golongan orang-orang yang disebut dalam Surah Al-Baqarah: 157 yang bermaksud:

"Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari
Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat
petunjuk hidayah-Nya."

Ini merupakan ucapan tahniah bagi orang-orang yang mendapat musibah dan khabar gembira bagi orang-orang yang mendapat bencana.

Usia dunia ini sangat singkat dan gudang nikmatnya pun sangat kecil. Sedangkan akhirat lebih baik dan kekal, hingga sesiapa di dunia mendapat musibah, ia akan mendapat kesenangan di akhirat nanti; dan sesiapa hidup sengsara di dunia, ia akan hidup bahagia di akhirat.

Berbaza dengan mereka yang sememangnya lebih mencintai dunia, hanya mengharap nikmat dunia sahaja dan lebih senang pada keindahan dunia. Hati mereka sentiasa susah; cemas tidak mendapat nikmat dunia dan takut tidak tenang hidupnya di dunia. Mereka ini hanya menghendaki nikmat dunia sahaja, sehingga mereka sentiasa memandang musibah sebagai malapetaka besar yang merugikan. Mereka juga akan memandang setiap cubaan sebagai sasuatu yang gelap gelita selamanya. Ini adalah kerana mereka selalu memandang ke arah bawah tapak kakinya dan hanya mengagungkan dunia yang sangat fana dan tidak berharga ini.

Wahai orang-orang yang ditimpa musibah; sesungguhnya tidak ada sesuatu pun yang hilang dari kamu. Sebaliknya kamu beruntung sebab Allah sentiasa menurunkan sesuatu kepada para hamba-Nya dengan ketetapan yang dicelah-celah huruf kalimatnya terdapat kelembutan, kasih sayang, pahala, balasan dan juga pilihan. Justeru itu, siapa sahaja yang ditimpa musibah yang hebat, ia mesti menghadapinya dengan sabar, mata yang jernih dan cara berfikir yang matang. Dengan begitu, ia akan menyaksikan bahawa ganjaran dari musibah itu adalah:

"Serta diadakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) satu tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (syurga dan nikmat) dan disebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa." (Surah Al-Hadid: 13)

Sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik, lebih kekal, lebih utama dan lebih mulia.

No comments: